KLANG - Sebuah premis menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan sekerap e-waste menerima notis penutupan dan tindakan sitaan dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini.
Operasi bersepadu pihak berkuasa tempatan itu turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor serta Polis Diraja Malaysia dan dijalankan di Lorong Sungai Puloh 9 /KU6, Kawasan Perindustrian Sungai Puloh.
Iklan
Iklan
"Hasil pemeriksaan mendapati premis tidak mempunyai lesen 2024 daripada Pihak Berkuasa Melesen dan pengusaha juga tidak mendapat kelulusan daripada JAS Selangor untuk memproses dan menyimpan sekerap e-waste.
"Sementara semakan di dalam sistem GES MPKLANG didapati premis itu terletak di dalam zon perusahaan," menurut kenyataan PBT itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Berikutan itu, tiga kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 dan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 20 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007.
"Tindakan sitaan mesin dan bahan sekerap e-waste turut dilakukan oleh JAS Selangor bagi tujuan pendakwaan di mahkamah," tambah kenyataan itu.