SHAH ALAM - Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 telah berakhir pada 10 Oktober 2024 yang berakhir pada 10 Oktober lalu membantu mendapatkan struktur dan ciri-ciri sektor pertanian secara komprehensif bagi merangka dasar serta polisi oleh pemegang taruh atau pihak berkepentingan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banci tersebut merangkumi isi rumah dan pertubuhan di seluruh Malaysia bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai sektor pertanian negara.
Menurutnya, Food and Agriculture Organization (FAO) turut menyarankan World Programme for the Census of Agriculture (WCA) melaksanakan penilaian untuk mendapatkan maklumat menyeluruh bagi ahli isi rumah, tempat kediaman dan blok penghitungan.
"Antara subsektor utama yang terlibat ialah tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.
"Penyiasatan Penilaian Liputan Banci Pertanian sedang dilaksanakan bermula pada 1 November 2024 dan akan berakhir pada 31 Januari 2025.
"Walaupun tempoh pembancian telah tamat, pengusaha yang tertinggal daripada liputan banci ini masih berpeluang untuk dibanci dengan melayari dan mendaftar portal Banci Pertanian (www.myagricensus.gov.my/) dan portal DOSM (www.dosm.gov.my/portal-main/home) sebelum 31 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Uzir, pihak DOSM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kementerian dan agensi yang telah memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan banci tersebut.
Ujarnya, kerjasama tersebut turut merangkumi perkongsian data, kepakaran, kemudahan logistik dan penyediaan platform kepada pembanci.
"DOSM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kementerian atau agensi yang telah memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan banci yang melibatkan lebih daripada 1,390 kementerian dan agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
"Kerjasama DOSM dan kementerian dan agensi antaranya merangkumi perkongsian data, perkongsian kepakaran, kemudahan logistik, penyediaan platform kepada pembanci untuk berurusan dengan pengusaha pertanian yang hasilnya menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan banci pertanian kali ini,” katanya.