Bekas tukang masak bebas tuduhan bunuh

Iklan
Kim Hau ( kanan) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki, enam tahun lalu.

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, melepas dan membebaskan seorang bekas tukang masak daripada tuduhan membunuh seorang lelaki, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Calvin Phua Kim Hau, 27, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan tertuduh.

"Mahkamah ini telah menimbangkan secara maksima keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan setelah menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah ini berpuas hati bahawa kecederaan tubuh badan pada si mati mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.

Iklan

"Mahkamah berpendapat keterangan dua orang saksi pendakwaan tidak secara positif mengesahkan tertuduh yang melakukan tikaman ke atas si mati.

"Sekadar kehadiran tertuduh di tempat kejadian tanpa perlakuan lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan yang berlaku," hujahnya.

Iklan

Sebelum ini, Calvin didakwa membunuh John Liew Yuan, 24 (ketika kejadian) di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Masai Jaya, Plentong di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, 3 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Seramai 13 saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali sepanjang prosiding perbicaraan sejak 2022 dan Calvin diwakili peguam Mohd Daud Ismail.