KLUANG -"Saya masih mentah, mata kanan lebam kerana ditumbuk oleh wanita itu.
"Dia yang masuk bilik air saya, saya pula yang disalahkan," katanya Muhamad Sopor@ Nasir, 34, ketika merayu jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan kepadanya dikurangkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Ia atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 24 tahun dengan tujuan mencabul kehormatannya.
Tindakan itu didakwa dilakukan di tandas awam wanita Laman Kreatif Kampung Melayu di sini pada jam 5.30 petang, dua hari lalu.
Hakim Mujib Saroji mengenakan ikat jamin itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula di hadapan Majistret pada 21 Januari.
Sebelum itu pada Rabu, seorang penganggur diberkas selepas disyaki mencabul seorang wanita di dalam tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin dalam kejadian mengesahkan kejadian berlaku 5.20 petang, Selasa membabitkan seorang wanita yang ingin menggunakan tandas di padang permainan itu.
Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun ujian air kencing negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah.