PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pasukan Petugas Khas akan membentangkan laporan 1 Mac depan ke arah usaha menambah baik Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rangkuman laporan tersebut turut mengambil kira mengenai kadar kos menu RMT.
"Kami akan buat pembentangan pada 1 Mac tahun hadapan termasuklah isu kos kalau berada dalam radar," katanya menerusi sidang akhbar Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini pada Khamis.
Menurutnya, RMT yang diperkenalkan sejak tahun 1979 membantu dalam membudayakan pemakanan sihat di kalangan pelajar sekolah selain program intervensi kemiskinan untuk memastikan anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) mendapat khasiat secukupnya.
"RMT ini harus memenuhi keperluan tersebut dan mesti dipantau oleh pentadbir setiap sekolah," kata beliau.
Kali terakhir kadar RMT disemak pada tahun 2022 dengan menaikkan kepada RM3.50 untuk Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak serta Labuan pula daripada RM3 kepada RM4.