KLUANG - Dua lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah minggu lalu.
Tertuduh, Wong Jian Xiong dan Kuan Yu En masing-masing berusia 26 tahun, mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama-sama mengedar dadah dan serbuk dadah disyaki jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 6,618.35 gram di Taman Permata di sini pukul 10 pagi, pada 10 Disember lalu.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, disebat 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Suniza Nan Yan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Jarret Ong.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan kimia pada 24 Februari depan.
Pada 12 Disember lalu, dua sahabat dilaporkan dicekup polis bersama sejumlah dadah ekstasi bernilai lebih RM1.1 juta di sebuah kediaman yang dijadikan pusat pemprosesan dan pengedaran di Taman Permata.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 itu memproses bekalan dadah ke dalam peket minuman kecil pelbagai perisa dengan berat 19 gram setiap satu sebelum dijual pada harga RM130 sebungkus.