SEREMBAN - Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan memperdayakan dua lelaki bagi pembelian minuman keras dan dua barangan lain yang tidak wujud bernilai RM457,682.
Pengakuan itu dibuat Goh Ching Jin, 31, dan Goh Kim Chai, 40, yang merupakan peniaga soya sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli dan Syed Farid Syed Ali.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama pada 4 Disember lalu jam lebih kurang 12.30 tengah hari di hadapan sebuah kedai makan di Seremban 2 telah menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM265,680 secara tunai bagi pembelian minuman keras yang tidak wujud.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh tidak mengaku salah atas pertuduhan menipu seorang lelaki sehingga mendorongnya membuat pembayaran RM192, 002 secara tunai bagi pembelian minuman keras, minuman bergas dan minyak masak yang tidak wujud.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 19 Februari lalu, jam 12 tengah hari bertempat di sebuah pasar raya di Nilai yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tertuduh tidak memperdayakan sedemikian.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan ini.
Jika sabit kesalahan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon wang jaminan RM7,000 manakala di kamar berbeza Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah Nor Azmi mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam K Ponnusamy memaklumkan kedua-dua anak guamnya adalah peniaga air soya dengan pendapatan purata RM2,000 sebulan dan bakal dijamin bapa saudara.
Nurul Saqinah membenarkan jaminan RM4,000 manakala Syed Farid menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh.
Sebutan semula pada 21 Januari depan.