Tokoh Kraf Negara meninggal dunia

Iklan

JERTIH - Tokoh Kraf Negara, Norhaiza Noordin meninggal dunia pada usia 61 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, Kelantan pagi ini akibat masalah jantung.

Menurut anak sulung Allahyarham, Mohammad Othman, 23, bapanya mengadu sukar bernafas dan ahli keluarga menghantarnya ke HRPZ II tengah hari semalam, untuk mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

"Ayah disahkan meninggal dunia pada jam 6.13 pagi tadi di sisi ibu (isteri Norhaiza, Che Rohayati Abdullah, 49),” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Othman berkata jenazah Norhaiza akan dikebumikan selepas solat asar hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja di sini.

Iklan

Norhaiza meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Mohammad Othman dan Rabiatul Adawiah, 21.

Norhaiza menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022 dan telah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Adiguru Kraf Ukiran Halus itu juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Malaysia.

Iklan

Anak jati Besut itu merupakan penggiat seni ukiran kayu yang terkenal dengan identitinya tersendiri serta hasil ukirannya banyak menghiasi ruang di istana, rumah orang kenamaan, rumah agam, pejabat, bangunan kerajaan di Malaysia dan di luar negara. - Bernama