GEORGE TOWN - Seorang pemborong udang buntu apabila akaun bank dan kad kredit miliknya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada Ogos lalu sehingga dia mengalami kerugian sebanyak RM17,203.
Tan Kean Huat, 49 berkata, dia telah membuat beberapa laporan kepada pihak bank, polis dan Ombudsman Malaysia mengenai perkara tersebut namun sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh mana-mana pihak.
Menceritakan lebih lanjut, Kean Huat berkata, dia telah menerima dua nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui telefon bimbitnya pada 26 Ogos menyatakan berlaku transaksi dari akaun banknya berjumlah RM995 dan RM58.21.
Jelasnya lagi, kedua-dua transaksi itu menunjukkan pemindahan wang daripada akaun banknya ke aplikasi Touch N Go.
"Setelah saya mendapati transaksi itu bukan daripada saya, saya telah menghubungi bank untuk membatalkan kad kredit serta kad debit saya. Saya diberitahu oleh bank, urusan pembatalan telah selesai pada yang sama.
"Saya juga diberitahu bahawa tiada 'floating transaction' bagi kad debit dan kad kredit saya. Bagaimanapun, saya terkejut apabila saya dihubungi bank pada keesokan harinya memberitahu saya mempunyai 11 transaksi menerusi kad kredit saya berjumlah RM16,150," katanya.
Kean Huat ditemui ketika mengadakan sidang akhbar bersama Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon di Ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Dia yang berasal dari Bayan Baru menambah, dia terus ke salah satu cawangan bank berkenaan untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.
Tambahnya lagi, dia berasa amat pelik kerana sudah membatalkan kad kreditnya pada 26 Ogos, namun transaksi masih boleh dibuat pada 27 Ogos.
"Ketika di bank, saya tidak dilayan malah permintaan saya untuk bertemu dengan pengurus bank juga ditolak. Mereka meminta saya membuat laporan polis untuk membolehkan kes itu disiasat.
"Saya telah membuat tiga kali laporan polis pada Ogos dan September lalu selain membuat laporan kepada ibu pejabat bank tersebut mengenai masalah saya ini. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Kes saya masih tergantung," jelasnya.
Kata Kean Huat, dia merupakan pemilik akaun bank berkenaan sejak 20 tahun lalu selain kad bank serta kad kreditnya tidak pernah hilang sebelum ini.
"Jika kad saya pernah hilang sebelum ini, mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan butiran peribadi untuk menggodam akaun saya tetapi (kad saya) tidak pernah hilang.
"Sudah 20 tahun saya menjadi pelanggan bank tersebut tetapi ini kali pertama saya menghadapi kejadian seperti ini. Saya agak terkilan kerana pihak bank seolah-olah tidak berusaha untuk menyiasat kes saya ini.
"Ini kerana, saya telah beberapa kali membuat aduan melalui emel bank namun tiada maklum balas yang diterima. Saya tidak tahu, apa status akaun saya sekarang," katanya lagi.
Sementara itu, Andrew Ooi berkata, pihak bank perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut kerana ia melibatkan butiran peribadi pemegang akaun.
Menurutnya, pihak bank tidak boleh terus berdiam diri dan membiarkan pemilik akaun menghadapi masalah tersebut sendirian.
"Mengapa pihak bank seperti tidak menghiraukan masalah ini sedangkan ia melibatkan maklumat peribadi pemilik akaun yang mana, hanya pihak bank sahaja yang tahu mengenainya.
"Pemilik akaun ini tidak terdaya untuk menyelesaikan sendiri kes ini. Saya menggesa pihak bank supaya tidak terus senyap tanpa sebarang tindakan susulan kerana mangsa tidak menggunakan wang berkenaan sebaliknya ada pihak lain yang menggodam kad kreditnya," katanya.