SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyegerakan teks khutbah berkaitan isu 'swinger' atau bertukar-tukar pasangan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia sebagai langkah pencegahan dan kesedaran kepada masyarakat bahawa perbuatan itu dilarang agama.
"Ia bukan hanya dilarang agama tapi dalam aspek kemanusiaan pun tidak boleh diterima.
"Ini soal maqasid dan prinsip yang diterima tetapi tiba-tiba ada orang Islam sendiri yang langgar. Ini perlu ditegaskan melalui khutbah yang akan dikeluarkan segera," katanya mengulas pendedahan aktiviti tidak bermoral swinger didedahkan oleh bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang lebih dikenali Cikgu Fadli di Facebooknya.
Menerusi hantaran itu, Cikgu Fadli menyuarakan kebimbangan apabila kumpulan swinger dikatakan semakin berani mendedahkan aktiviti mereka secara terbuka melalui platform media sosial.
Pempengaruh itu memberitahu kumpulan ini bebas membuat perjumpaan di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu yang semua maklumat itu ditulis di Facebook.
Pihaknya meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta agensi agama berkaitan mengambil perhatian dan bertindak susulan perlakuan itu dikatakan turut dilakukan mereka beragama Islam.
Mohd Shahzihan berkata, pihaknya sedia maklum perlakuan swinger telah berlaku sejak 80-an lagi cuma agak terkejut apabila kumpulan itu semakin berani menggunakan media sosial.
"Saya ada semua media-media sosial yang digunakan itu, namun kita bukan pihak yang mencari kesalahan dalam soal ini.
"Tetapi jika ada berkaitan undang-undang, kita harus teliti berdasarkan fakta dan diambil tindakan.
"Usaha pencegahan dan berkaitan akan dilakukan termasuk langkah khutbah supaya masyarakat tahu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan dilarang agama," katanya.