PUTRAJAYA - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang berusaha untuk menterjemahkan karya penyair dan pemikir Turkmenistan, Magtymguly Pyragy ke dalam bahasa Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, terjemahan itu akan membolehkan rakyat Malaysia menghargai karya Pyragy yang mencerminkan komitmen terhadap keadilan, keamanan dan keperibadian menentang ketamakan serta penyalahgunaan kuasa.
"Terjemahan beberapa karya agung (penyair itu) ke dalam bahasa Melayu agar ia dapat dikenali dengan meluas di sini, membawa makna kepada kerjasama yang komprehensif antara negara Islam yang komited terhadap pembangunan dan keamanan,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow, yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, di sini pada Khamis.
Anwar juga menzahirkan ucapan tahniah kepada negara di Asia Tengah itu sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-300 penyair berkenaan tahun ini.
Pyragy adalah pemimpin spiritual, penyair falsafah dan ahli sufi yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Turkmenistan dan tokoh paling terkenal dalam sejarah sastera negara itu. - Bernama