KOTA KINABALU - Rayuan seorang ibu terhadap anaknya yang berada di Korea Selatan supaya pulang ke pangkuan keluarga akhirnya menjadi kenyataan, namun hanya jasadnya mendiang yang pulang.
Jenazah Olivia Richard, 46, tiba di pekarangan MASkargo sekitar jam 11 pagi menerusi penerbangan dari Seoul akan dibawa ke rumah mereka di Kampung Novoung, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Libagu.
Menurut Lina Sham, 61, dia ada meminta anak keduanya itu supaya pulang ke Sabah melihat anak-anaknya yang sedang membesar.
"Saya katakan pada mendiang, dia tidak rindukah dengan anak-anaknya yang sudah besar kerana sudah lama dia tidak pulang. Sekarang anak sudah besar, baliklah.
"Dia cuma jawab akan balik juga nanti. Dia kata, dia mahu keluar dari Korea dan tidak akan pulang semula lagi ke sana selepas itu.
"Saya tidak sangka, dia balik untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali. Rupanya itu pula maksud yang dia tidak akan balik lagi (ke Korea Selatan), sampai anak dia pun tidak sempat peluk," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Katanya lagi, kali terakhir dia berhubung dengan mendiang pada hujung Oktober lalu.
"Dia tanya bila saya potong rambut sebab dia mahu tengok fesyen rambut saya yang terbaru, tetapi saya kata belum lagi.
"Dia juga ada berhubung dengan anak ketiga saya bertanyakan hadiah untuk hari jadi saya pada 17 Disember lalu, sebab biasanya dialah yang tanggung semua perbelanjaan termasuk anak-anaknya juga," katanya.
Sementara itu, anak sulung mendiang Adrian Esdony, 14, berkata, hampir setiap hari mereka berhubung melalui panggilan video tetapi ibunya tidak menunjukkan sebarang petanda akan meninggalkan mereka tiga beradik.
"Biasanya kami berbual mengenai pekerjaannya di sana dan bertanya mengenai persekolahan serta kesihatan kami tiga beradik.
"Kali terakhir kami berbual pada hari sebelum dia 'pergi', tetapi dia tidak pernah mengatakan dia sakit cuma mengadu sakit demam saja," katanya.
Adrian berkata, dia memang ada meminta ibunya pulang kepada dia terlalu rindu dan mahu mereka duduk sekeluarga.
"Saya ada tanya, bila dia akan pulang tetapi dia cuma kata belum tahu lagi. Dia cuma pesan jaga adik-adik di sini," katanya.
Sebelum itu, ketibaan jenazah disambut ahli keluarga dan kenalan rapat selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datul Juil Nuatim.
Sinar Harian melaporkan, seorang lagi rakyat Sabah yang berada di Korea Selatan dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada 4 Disember lalu.
Usaha membawa jenazah pulang ke Sabah pada awalnya mengalami kesukaran apabila pihak keluarga tidak berkemampuan untuk menanggung kos penerbangan jenazah yang mencecah lebih RM30,000.
Namun, hasil kutipan sumbangan serta dana yang disalurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) akhirnya cukup untuk membawa pulang mendiang Olivia ke kampung halamannya di Papar.