Jejaka istimewa tawan gunung dengan merangkak

Iklan
Berbeza dengan pendaki lain yang menggunakan kaki, Azzrulkhan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan tangannya untuk bergerak dan mendaki. Foto Bernama

KAJANG - Aktiviti lasak mendaki gunung memerlukan kekuatan fizikal khususnya bahagian kaki, namun Azzrulkhan Hasrullah Matsah membuktikan sebaliknya apabila berjaya menakluk gunung dengan sepasang tangan.

Individu istimewa ini disahkan mengalami kerosakan saraf tunjang dan lumpuh kedua-dua belah kaki, menyebabkan dia bergerak secara merangkak yang bergantung sepenuhnya pada kekuatan tangan.

Iklan
Iklan

Di sebalik kekurangan itu, lelaki berusia 32 tahun kelahiran Kuching, Sarawak ini telah beberapa kali mencipta sejarah tersendiri dalam aktiviti pendakian, termasuk menawan Everest Base Camp setinggi 5,365 meter dari aras laut, menerusi ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, pada 2018.

Pada 2016, dia mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai lelaki kurang upaya pertama menawan Gunung Kinabalu di Sabah dengan cara merangkak.

Iklan

"Saya memasang impian untuk mendaki Gunung Everest, tetapi saya sedar untuk capai impian itu perlukan persediaan yang sangat rapi dan komitmen tinggi, terutamanya apabila melibatkan keselamatan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, lelaki yang mesra disapa Adam itu berkata dia kini sedang mempersiapkan diri untuk mendaki puncak Kilimanjaro, gunung tertinggi di benua Afrika, pada hujung tahun depan.

Mengakui berdepan cabaran tersendiri ketika bersaing dalam kalangan pendaki biasa, Azzrulkhan Hasrullah berkata dia memastikan dirinya sentiasa cergas dengan melakukan pelbagai latihan fizikal termasuk berenang.

Iklan

Kecekalan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini membuahkan hasil apabila berjaya menakluk Everest Base Camp pada ketinggian 5,365 meter menggunakan kaedah merangkak dalam ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia pada 2018. Foto Bernama

"Senaman yang saya lakukan adalah khusus untuk menguatkan otot badan,” katanya yang berkerusi roda bagi melakukan aktiviti harian.

Kerap berkongsi tentang kegiatan mendaki di platform TikTok menerusi akaun @SiswaLabahLabah, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini berkata kepayahan yang dialaminya ketika mendaki tidak jauh berbeza dengan individu biasa.

"Jika mereka berasa penat, saya juga penat. Bezanya, mereka menggunakan kaki manakala saya menggunakan tangan. Jika mereka lenguh di kaki, saya pula lenguh di tangan,” katanya, menambah dia memerlukan sarung tangan dan pakaian tebal bagi melindungi tubuhnya daripada terkena tumbuhan beracun atau objek tajam ketika merangkak.

Katanya, bagi mengelakkan perkara tidak diingini ketika melakukan aktiviti mendaki, dia menyelidik terlebih dahulu kawasan pendakian, terutama keadaan trek, dan akan membatalkan hasrat sekiranya terlalu sukar untuk ditempuh seperti berbatu-batan.

Menurutnya lagi, cabaran paling sukar pernah dilaluinya adalah ketika mendaki Gunung Trusmadi di Tambunan, Sabah pada 2017, apabila dia mengalami hiportemia sehinga tidak sedarkan diri dan terpaksa dibawa turun ke tapak perkhemahan ketika pendakian hanya berjarak kira-kira 600 meter untuk tiba di puncak.

Ditanya bagaimana dia mula berkecimpung dalam aktiviti lasak itu, Azzrulkhan yang bekerja dalam bidang insurans berkata minatnya tercetus kerana kekaguman melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, selain ingin mencabar keupayaan diri.

"Aktiviti mendaki adalah titik permulaan saya menjadi lebih aktif dalam kehidupan. Sejak menceburi kegiatan ini pada 2014, saya menjadi semakin berani terlibat dalam pelbagai sukan lasak lain, antaranya larian, bola tampar, memanah, berenang, bola keranjang dan sukan kayak,” katanya yang pernah mendaki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur.

"Saya juga berubah menjadi semakin yakin dengan diri sendii. Matlamat saya adalah untuk memberi inspirasi kepada orang lain sekali gus membuktikan orang kurang upaya juga sama seperti manusia normal yang lain. Apa yang penting, kami mempunyai keazaman yang kuat,” katanya yang bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan isterinya Syarifah Syafiqah Syed Nasir dan keluarga. - Bernama