Kes Kim Seri: Polis terima 24 laporan, kerugian hampir RM500,000

Iklan
Laporan Sinar Harian berkait kes penipuan Kim Seri (kiri), Ramli

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dilakukan oleh seorang pempengaruh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, menerusi laporan dibuat mangsa, nilai kerugian dianggarkan hampir setengah juta ringgit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes penipuan itu tular di media sosial apabila seorang pempengaruh dikenali sebagai 'Kim Seri' atau Kimseri_Eina didakwa melakukan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

"Setakat ini, JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 24 laporan daripada mangsa-mangsa yang terlibat dengan nilai kerugian sebanyak RM454,450.

Iklan

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, ia untuk tindakan KPDN di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Iklan

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang menjadi mangsa penipuan itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran supaya satu siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

Sementara itu sebagai langkah pencegahan, menurutnya, orang ramai yang ingin membeli pakej pelancongan dinasihatkan untuk melayari portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di www.motac.gov.my/semakan/.

Selain itu katanya, orang ramai boleh membuat semakan pendaftaran agensi yang menawarkan pakej pelancongan di portal tersebut.

"Langkah mudah ini amat penting bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat tidak berdaftar," ujarnya.