Ibu bapa sukar berfikir rasional jika berdepan masalah kewangan

Iklan
Md Noh Saiman. Foto SINAR HARIAN ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Ibu bapa sukar berfikir rasional jika berdepan masalah kewangan dan hutang menyebabkan mereka mudah terjebak dengan jenayah rasuah, malah perilaku sedemikian cenderung mempengaruhi psikologi anak-anak.

Ketua Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman berkata, apabila masalah kewangan menjadi krisis dialami sesebuah keluarga, taruhannya adalah mengenai tahap integriti dalam diri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sekiranya ibu bapa yang sepatutnya menjadi suri teladan kurang bijak mengawal sikap rasional dalam diri, ia akan membuatkan fikiran anak-anak menjadi keliru.

"Bisa kalau berdepan masalah kewangan ini, bukan sahaja terlihat pada muka, tetapi juga pada hati. Umpamanya hina waktu siang, tetapi gelisah di waktu malam.

Iklan

"Contohnya, ada situasi ibu bapa suruh anak menipu dengan mengatakan tiada di rumah jika didatangi tetamu atau terima suapan bawah meja, mereka dikira rakan subahat.

"Jadi, apabila anak tengok bapa dalam keadaan susah dan tiba-tiba dilibatkan dalam urusan ini, mereka keliru. Apabila anak keliru dan ibu bapa pula tak rasional, ini sangat berbahaya (sehingga mendorong terjebak amalan rasuah),” katanya.

Iklan

Md Noh (dua dari kiri) ketika forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian ketika forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat seperti pendakwah, Roslan Mohamed dan penulis keibubapaan, Adlil Rajiah.

Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Gerakan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin.

Md Noh berpandangan, situasi menerima rasuah sudah menjadi barah kerana ramai menganggap ia salah satu cara untuk mendapatkan duit dalam tempoh singkat.

Tambah beliau, golongan yang terdesak memiliki wang sanggup mengambil risiko dan melakukan apa sahaja akibat didorong rasa tidak rasional.

"Masalah kewangan adalah risiko dan apabila risiko terlalu banyak, mereka berkompromi dengan integriti dalam diri," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada istilah terlambat untuk kembali ke pangkal jalan kerana kesungguhan untuk bertaubat terletak dalam diri masing-masing.

Justeru, ujarnya, golongan yang ingin berubah perlu mengamalkan beberapa strategi mengikut tahap perilaku manusia seperti pra-perenungan, perenungan dan kesediaan.

"Fasa pra-perenungan (pre-contemplation) maksudnya tak tahu yang rasuah itu salah dan sepanjang nak membesar, dia keliru. Kedua adalah perenungan (contemplation), ramai dah tahu tentang keburukan rasuah tapi masih ambil (rasuah) sebab tak tahu nak berhenti.

"Kesediaan (readyness) iaitu mempersiapkan diri untuk berubah dan jangan putus ada. Akhir sekali adalah mengekalkan perubahan," jelasnya.