SHAH ALAM - Kes pecah amanah membabitkan kerjaya sebagai seorang peguam mengundang mimpi ngeri dan melunturkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, tindakan yang tidak beretika itu sememangnya membangkitkan rasa kekecewaan kerana orang ramai memiliki tanggapan yang tinggi kepada profesion tersebut.
"Sungguh menyedihkan apabila ada pihak (peguam) mengambil kesempatan daripada kepercayaan dan harapan. Keadaan ini seolah-olah meneguk di air keruh.
"Bukan itu sahaja, laporan seumpama ini memberikan imej yang kurang baik terhadap pengamal undang-undang di mata masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, polis menerima laporan berkaitan kes pecah amanah oleh dua peguam yang membabitkan kerugian lebih RM3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seorang pengarah syarikat berusia 40 tahun mendakwa peguam yang dilantik oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjadi pentadbir sementara ke atas harta pusaka milik ibunya telah melakukan pecah amanah pada 29 November lalu.
Sementara itu, kes kedua membabitkan seorang peguam yang gagal untuk membuktikan wang RM1 juta yang telah dibayar oleh anak guamnya masih berada di dalam akaun klien firma tersebut.
Mengulas lanjut, Hamdan Daniel menegaskan agar pengamal undang-undang dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik dan memberikan imej yang bersih agar kepercayaan rakyat tidak goyah.
"Selama ini kita amat menyanjung tugas dan sumbangan kepakaran profesion berkenaan dalam menjaga serta melindungi hak serta kepentingan orang awam.
"Semoga kita semua terus menyemai benih integriti dalam sanubari rakyat Malaysia. Tugas melawan rasuah bukanlah berasingan malah menuntut kerjasama dan gandingan semua pihak.
"Dengan misi rumah kita keluarga kita adalah benteng untuk menolak dan membanteras rasuah,” ujarnya.