SHAH ALAM - Tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung perkara itu.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu.
"Siasatan SPRM mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Jelas kenyataan itu, sebagai langkah susulan, siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.
"Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM, berserta syor-syor penambahbaikan.
"Antara langkah utama yang disyorkan ialah agar KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui," katanya.
Media pada 4 September lalu, melaporkan SPRM menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek 1BestariNet.
Siasatan terbabit tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion dan unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.
Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011 bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.