KUALA TERENGGANU - Setiap aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan diminta untuk mengemukakan cadangan alternatif bagi menangani isu populasi anjing liar yang semakin membimbangkan ketika ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim turut mencadangkan supaya NGO berkenaan mempertimbangkan pembinaan sebuah pusat perlindungan haiwan liar dan berkeliaran sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan gangguan kepada masyarakat.
"Bagaimanapun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang jawapan atau cadangan balas daripada pihak NGO.
"Saya berharap mereka bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang dapat membantu mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan masyarakat dan juga haiwan-haiwan ini,” katanya seperti dipetik melalui portal rasmi kerajaan negeri di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan saman daripada empat aktivis haiwan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa minggu lalu, terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kematian anjing liar, diberi nama Kopi.
Mengulas lanjut, Azman menyatakan masalah yang dicetuskan oleh anjing liar terhadap kehidupan masyarakat tidak lagi perlu dihuraikan kerana ia sudah diketahui umum.
Bagaimanapun, Azman menegaskan bahawa tindakan berdiam diri tanpa mencari penyelesaian adalah tidak bijak memandangkan populasi haiwan liar tersebut terus meningkat.
"Saya juga telah dihubungi oleh beberapa aktivis dan NGO pencinta haiwan yang meluahkan rasa kecewa mereka berhubung insiden yang telah berlaku (di Besut).
"Dengan penuh hormat, saya mohon mereka supaya mengemukakan satu solusi untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya," ujarnya.
Pada Isnin lalu, empat aktivis haiwan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa minggu lalu, terhadap MDB dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kematian anjing liar, diberi nama Kopi.
Empat aktivis, Kartini Farah Abd Rahim, S Mukunnan, Hong Hai San dan S Shashi Kumar selaku plaintif mengemukakan saman itu melalui firma guaman Tetuan Raj & Sach, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.
Menerusi saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa pembunuhan Kopi oleh MDB, adalah melanggar Seksyen 29 (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).
Mereka juga memohon perisytiharan, bahawa tindakan menembak anjing liar itu menggunakan senjata api oleh MDB, telah melanggar Seksyen 30 (1), dan penembakan mengikut Seksyen 30 (2) AWA.
Ia adalah kerana, Seksyen 30 (1) jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.
Pada 12 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Kopi yang pernah tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar di sebuah taman perumahan di Terengganu ditemui mati dipercayai ditembak.
Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.