Klang catat kehadiran lebih 400,000 pelancong tahun ini

Iklan
Abd Hamid (lima, kanan) bergambar bersama antara tetamu jemputan.

KLANG - Klang merupakan antara bandar tertua di Malaysia yang mempunyai banyak monumen sejarah serta tempat-tempat menarik dan unik yang berpotensi sebagai tarikan pelancongan.

Pelancongan di daerah berkenaan adalah berteraskan warisan, budaya, gastronomi eko-pelancongan, membeli belah dan maritim yang diantara kategori pelancongan popular di Klang.

Iklan
Iklan

Menurut Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain, antara produk pelancongan dikenali adalah seperti Royal Klang Town Heritage Walk, Tanjung Harapan dan Pusat Pemborong GM Klang.

Selain itu, jelasnya, ia termasuk Jalan Tengku Kelana yang juga dikenali sebagai Little India, Pulau Ketam, permainan gasing pangkah tradisional Bukit Kapar, Laman Seni Safari Klang serta makanan laut.

Iklan

"Sebagai rekod, kedatangan pelancong ke Klang pada Januari hingga September 2024 adalah sebanyak 459,979 dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menduduki tempat keempat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi tumpuan pelancong di Selangor," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kalendar Program Pelancongan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Diraja Klang 2025 dan Bas Hop On Hop Off di sini pada Khamis.

Iklan

Di samping itu, Abd Hamid menjelaskan, pembangunan industri pelancongan secara lestari dapat menyumbang kepada peningkatan persekitaran fizikal dan sosial yang lebih baik.

Ujarnya, industri pelancongan juga sangat penting sebagai salah satu strategi memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar dan mengimbangi pertumbuhan bandar dengan wilayah.

Sehubungan itu, ujarnya lagi, MBDK meneruskan pelbagai usaha untuk membangunkan serta mempromosi sektor pelancongan bagi menonjolkan Klang sebagai salah satu destinasi pelancongan di Malaysia yang menjadi tumpuan pelancongan domestik dan antarabangsa.

"Diantaranya ialah penganjuran program, menerima lawatan sambil belajar dari pihak luar, menyertai program dan aktiviti promosi anjuran Kementerian pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dan Tourism Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu, MBDK turut menghargai agensi dan pengamal media atas kerjasama menjadi sebagai rakan strategik dalam pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan daerah Klang pada majlis berkenaan.