Rosmah belum bebas sepenuhnya

Iklan
Rosmah (tengah) hadir bagi keputusan permohonan beliau untuk membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Meskipun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima pertuduhan berkaitan cukai, namun Datin Seri Rosmah Mansor masih berdepan satu lagi rayuan kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Ia membabitkan keputusan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) di Mahkamah Tinggi pada 1 September 2022 lalu, yang menjatuhinya hukuman jel 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah.

Iklan
Iklan

Mahkamah Rayuan menetapkan prosiding hujahan rayuan itu didengar pada 5 Mac tahun depan.

Sebelum ini, peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu, pada hari pendengaran itu, mahkamah akan mendengar rayuan keputusan Mohamed Zaini yang menolak permohonan untuk menggugurkan diri, daripada mendengar kesnya, terlebih dahulu.

Iklan

Permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini dibuat sebelum keputusan dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya 'penghakiman kes didakwa bocor'.

Akberdin juga memberitahu, pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

Iklan

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Bagi kes sivil pula, isteri bekas Perdana Menteri ini turut berdepan kes saman AS$346 juta (RM1.5 bilion) oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 10 syarikat lain di Mahkamah Tinggi sini.

Saman itu berhubung dakwaan pembelian barangan mewah daripada wang 1MDB dan kes itu akan didengar oleh Hakim, Wan Muhammad Amin Wan Yahya.

Ketika dihubungi media, peguam, Villasha Anbalagan yang bertindak bagi 1MDB dan 10 syarikat selaku plaintif berkata, ketika pengurusan kes di hadapan hakim baharu itu, mahkamah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk mengemas kini status saman berkenaan.

Pada 19 November lalu, Sinar Harian melaporkan, Hakim Leong Wai Hong menarik diri daripada mendengar kes saman itu.

Hakim terbabit membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.

Dalam afidavit sokongan, Rosmah menyatakan hakim ini merupakan rakan kongsi dan ketua litigasi dan timbang tara di firma guaman Tetuan Skrine dari 2011 hingga 2021.

Rosmah dalam afidavit sokongannya juga menyatakan bahawa pada masa berkenaan, Tetuan Skrine, yang mewakili 1MDB dalam kes ini, mempunyai hubungan dengan saman itu termasuk siasatan ke atas 1MDB dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu Perdana Menteri.

Pada 9 September lepas, Hakim, Adlin Abdul Majid menolak permohonan Rosmah supaya hakim ini menarik diri, dengan menyatakan wanita itu gagal membuktikan sebarang bahaya nyata risiko berat sebelah sekiranya beliau terus mendengar kes saman sivil berkenaan.

Bagaimanapun, Adlin berpindah ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Harta Intelek) dan penghakiman diadili oleh Wai Hong.

Pada 9 Mei, 1MDB dan 10 syarikat lain memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta, yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.

Lima daripada syarikat itu adalah anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd. Lima syarikat lain adalah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Kesemua syarikat itu menuntut Rosmah membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.