Akta 852: Lebih 5,000 notis kesalahan merokok dikeluarkan - Dzulkefly

Iklan
KKM keluarkan 5,642 notis melibatkan nilai kompaun RM1.37 juta sejak Akta 852 dikuatkuasakan. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,642 notis melibatkan nilai kompaun RM1.37 juta sejak Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan dari 1 Oktober hingga 17 Disember lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jenis kesalahan tertinggi adalah di bawah Seksyen 16(2), iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan dengan 5,271 notis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 193 notis dikeluarkan bagi kesalahan yang dikompaun di bawah Seksyen 17(1), iaitu larangan orang belum dewasa (OBD) merokok atau menggunakan produk merokok.

Dzulkefly berkata, untuk memperkasakan penguatkuasaan Akta 852, laman sesawang JomLapor dilancarkan agar negara mencapai status bebas tabiat merokok pada 2040.

Iklan

"JomLapor yang bermula semalam telah menyaksikan 135 aduan. Pelapor ialah anonymous untuk menjaga keselamatan," katanya kepada media selepas melancarkan JomLapor di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, laman sesawang itu bertujuan menggalakkan setiap individu bekerjasama mengekalkan persekitaran bebas asap rokok, terutama di tempat awam yang dikunjungi warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 13,000 aduan berkaitan kesalahan merokok di tempat awam melalui aplikasi WhatsApp bagi tempoh Januari lepas hingga kini.

Dzulkefly juga mengulangi pendirian bahawa Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang di bawah Akta 852.

"Tiada dua darjat dalam Kerajaan Madani. Kita lihat Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) melakukan kesilapan dan beliau sedia diberikan kompaun dan membayar. Itu adalah satu semangat yang kita mahukan," katanya.

JomLapor dibangunkan hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional bertujuan memperkukuh penguatkuasaan.

Aduan tertumpu kepada kesalahan pengiklanan, promosi atau tajaan produk merokok, penjualan di dalam kawasan institusi pendidikan, pasar jualan, secara dalam talian atau menerusi mesin layan diri. - Bernama