44,139 pesawah MADA terima bantuan khas lebih RM26 juta

Iklan
Mohamad (tiga kanan) menyerahkan BKST Fasa 2 Tahun 2024 pada Program Ihsan MADANI di pekarangan Pejabat Pertubuharn Peladang Kawasan (PPK) MADA F-II Jerlun pada Khamis.

JERLUN - Prihatin dengan kebajikan para pesawah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerahkan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 Tahun 2024 berjumlah RM26,483,400 kepada 44,139 orang pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi meringankan beban golongan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumbangan tersebut merupakan satu skim bantuan khusus untuk golongan pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh KPKM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak RM200 sebulan akan diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman padi.

"Kita mengharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca yang tidak menentu. Perubahan cuaca ini bukan sahaja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju,” katanya pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan BKST Fasa 2 Tahun 2024 pada Program Ihsan Madani di pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA F-II Jerlun, di sini.

Jelas Mohamad, pemberian BKST mula disalurkan bermula pada Tahun 2023 selepas dibentangkan di dalam sesi Belanjawan 2023 pada 7 Oktober 2022 oleh Perdana Menteri.

Iklan

Menurutnya, pesawah yang layak akan menerima bantuan tunai yang disalurkan terus ke dalam akaun sedia ada atau akaun Agrobank pesawah dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh pengesahan MADA.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyempurnakan penyerahan replika cek Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Tahun 2024 berjumlah RM10,488,321.60 kepada 4,854 orang pesawah MADA sebagai simbolik kelulusan peruntukan pihak kerajaan kepada para pesawah.

Menurutnya, bantuan tersebut diberikan kepada pesawah-pesawah yang terjejas akibat bencana banjir di kawasan Muda pada bulan September dan Oktober 2024 yang lalu yang melibatkan kawasan kerosakan seluas 5,976.02 hektar.

"Pihak kerajaan telah memperuntukkan Wang lhsan melalui KPKM kepada MADA bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para pesawah MADA serta memberikan suntikan modal kepada para pesawah bagi aktiviti penanaman padi.

"Bayaran kepada pesawah-pesawah akan disalurkan terus ke dalam akaun bank masing-masing pada bulan Januari Tahun 2025,” ujarnya.

Pada waktu sama, beliau turut menyarankan seluruh pesawah-pesawah khususnya di kawasan MADA dan termasuk di seluruh Malaysia untuk sama- sama menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh KPKM.

Menurutnya, ia sebagai perlindungan sewaktu menghadapi risiko terjejas tanaman padi disebabkan oleh faktor bencana alam seperti banjir, kemarau atau ribut termasuk penyakit tanaman atau perosak.

Tambahnya, melalui skim ini, para pesawah dapat menerima pampasan atau bantuan kewangan apabila mereka mengalami kerugian sewaktu mereka mengusahakan aktiviti penanaman padi.

"Skim ini secara umumnya dapat memberi manfaat besar dalam meningkatkan ketahanan dan kestabilan sektor tanaman padi di Malaysia seterusnya dapat memberikan harapan baharu kepada pesawah untuk meneruskan aktiviti pertanian dengan lebih yakin dan produktif sekaligus menyumbang kepada kestabilan pengeluaran makanan ruji negara,” katanya lagi.