Skuad Prihatin MyIPO bantu mangsa banjir di Kelantan

Iklan
Skuad Prihatin MyIPO ke Kelantan memberi tumpuan kepada tiga kawasan utama yang terjejas akibat banjir iaitu Lubuk Jong, Rantau Panjang dan Pasir Mas. Foto Facebook MyIPO

SHAH ALAM - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melaksanakan misi bantuan banjir melalui Skuad Ihsan Madani yang dikenali sebagai Skuad Prihatin MyIPO ke Kelantan.

MyIPO dalam satu kenyataan berkata, misi berkenaan memberi tumpuan kepada tiga kawasan utama yang terjejas akibat banjir iaitu Lubuk Jong, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Iklan
Iklan

"Skuad Prihatin MyIPO terdiri daripada 20 kakitangan, membawa sumbangan berupa barangan elektrik untuk membantu 500 keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

"Selain itu, kumpulan ini turut akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas untuk mempercepatkan pemulihan komuniti terkesan,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Iklan

Majlis pelepasan Skuad Prihatin MyIPO telah diadakan pada Isnin di lobi Menara MyIPO, Petaling Jaya Sentral dan ia disempurnakan oleh Pengerusi MyIPO, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain.

Mengulas lanjut, MyIPO memaklumkan bahawa pihaknya berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir, terutamanya dalam fasa pasca banjir.

Iklan

Jelas kenyataan itu, usaha berkenaan bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pihak perbadanan terhadap masyarakat malah memperkukuhkan peranan dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial di samping menjalankan mandat utama menerusi bidang harta intelek.

"Pada tahun ini, MyIPO telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM960,000 untuk pelbagai inisiatif kebajikan termasuk membaik pulih padang sekolah dan menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf,” ujarnya.