PAPAR - Rakyat Sabah yang meninggal dunia di Korea Selatan pada awal bulan ini selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Libagu, di sini sekitar jam 2 petang Khamis.
Mendiang Olivia Richard, 46, tiba di Kota Kinabalu menerusi penerbangan dari Seoul dibawa terus ke rumah mereka di Kampung Novoung, sebelum upacara pengebumian.
Menurut adiknya, Dora, 44, jenazah dibawa terus pulang ke kampung halaman untuk keluarga memberi penghormatan terakhir selain memberi ruang untuk anak-anak mendiang bersamanya.
"Kami tiba di rumah sekitar jam 12 tengah hari untuk ahli keluarga dan kenalan terdekat beri penghormatan terakhir.
"Syukur cuaca sangat baik ketika upacara pengebumian dan sekitar jam 2 petang, mendiang selamat dikebumikan," katanya selepas selesai upacara pengebumian di sini pada Khamis.
Sebelum itu, jenazah tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 11 pagi dan disambut ahli keluarga serta kenalan rapat selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Sinar Harian melaporkan, seorang lagi rakyat Sabah dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada 4 Disember lalu.
Usaha membawa jenazah pulang ke Sabah pada awalnya mengalami kesukaran apabila pihak keluarga tidak berkemampuan untuk menanggung kos penerbangan jenazah yang mencecah lebih RM30,000.
Namun, hasil kutipan sumbangan serta dana yang disalurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) akhirnya cukup untuk membawa pulang mendiang Olivia ke kampung halamannya di Papar.