'Saling menghormati, jangan ambil ahli parti komponen'

Iklan
Nurul Amal (depan) menggunakan penyembur air untuk membersihkan lumpur bagi membersihkan surau di Kampung Gaal.

PASIR PUTEH - Semua parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya saling menghormati dan tidak 'mengambil' ahli daripada parti komponen lain.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pendirian Puteri UMNO sejak dahulu akan kekal setia dengan parti sama.

Iklan
Iklan

"Kita berada dalam kerajaan yang sama dan tidak akan menarik ahli daripada mana-mana parti. Begitu juga harapan kami supaya semua parti saling menghormati," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada Program Membersihkan Surau dan Menyampaikan Sumbangan Karpet di Kampung Gaal pada Khamis.

Iklan
Seramai 40 sukarelawan Puteri UMNO terbabit dalam membantu kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi terkesan banjir.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Othman Desa memaklumkan UMNO tidak akan bertoleransi dengan individu yang cuba melompat parti untuk kepentingan peribadi dan jawatan, walaupun parti yang bakal disertai itu merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menasihatkan individu terbabit tidak memburukkan parti asal yang banyak membantu meningkatkan karier politik mereka.

Iklan

Dalam perkembangan lain Nurul Amal berkata, pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor membuktikan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu tidak bersalah.

"Keputusan mahkamah dapat membersihkan nama beliau yang sudah berjuang untuk mendapat pembebasan yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, jelas Nurul Amal seramai 40 sukarelawan Puteri UMNO melakukan kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi terkesan banjir.

Kesemua mereka datang dari Kuala Lumpur dan sudah melakukan misi pembersihan di Rantau Panjang dan Besut.

"Kami akan ke Tumpat esok dan misi akan berakhir di Negeri Sembilan," katanya.