SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial, Kim Seri menafikan dia melarikan diri ke Jepun berhubung dakwaan penipuan pakej pelancongan yang dikendalikannya.
Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina berkata, dia sedia memberi kerjasama terhadap mana-mana siasatan pihak berkuasa membabitkan dirinya.
"Saya tak pernah nak lari ke Jepun dan tak pernah berniat nak tinggal di Jepun. Saya masih di Korea.
"Saya masih di sini (Korea) memberi kerjasama atas mana-mana siasatan yang dilakukan ke atas saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis.
Sebelum ini, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semua wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongannya.
Menurutnya, dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah itu.
Kim Seri berkata, dokumen akan diberikan kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini.
Susulan kes berkenaan, polis menerima lima laporan berhubung dakwaan menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan usahawan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu namun dijadikan laporan luar kawasan.
Terdapat juga beberapa rakyat tempatan dilaporkan menggunakan perkhidmatan Kim Seri yang merungut dan meluahkan rasa kecewa berhubung perkara terbabit.