SHAH ALAM - Seorang warga emas disahkan menghidap radang paru-paru dan ia didakwa mempunyai kaitan dengan rutinnya memberi makan kepada merpati.
Anaknya, Mohanah Raja Manikam, 44, mendakwa, ia berikutan spora kulat bawaan burung berkenaan berkemungkinan dihidu tanpa disedari wanita berumur 76 tahun itu.
Menurut Mohanah, ibunya memberi makan merpati di balkoni rumah mereka lebih tiga kali setiap hari.
"Ibu saya memang suka bagi makan kepada haiwan terutamanya burung sejak lima tahun lepas. Setiap kali ada nasi atau lebihan makanan di rumah dia akan beri kepada merpati.
"Namun baru-baru ini ibu tidak sihat dan selepas diperiksa doktor dia didapati mempunyai masalah paru-paru (radang paru-paru). Bila disiasat berkemungkinan penyakit itu diperoleh daripada kuman burung merpati memandangkan dari segi makanan dan sejarah keluarga sukar untuk dikaitkan," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohanah, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana burung merpati terbang merata tempat.
Jelasnya, tidak diketahui kemungkinan burung merpati membawa bakteria memandangkan ia tidak nampak dengan mata kasar.
"Doktor kata bakteria itu sangat bahaya apatah lagi kepada anak-anak dan warga emas, kesannya bukan sekarang tetapi dalam jangka masa lama.
"Bagi orang muda mungkin kurang terkesan kerana antibodi mereka lebih kuat. Saya pernah tengok burung Merpati bawa ular kecil ke balkoni rumah, sangat terkejut masa itu.
"Diharapkan apa yang berlaku akan memberi pengajaran kepada orang ramai, nasib baik (penyakit) ibu saya dapat dikenal pasti awal. Jadi, jangan suka-suka memberi makan burung merpati," jelasnya.