Bukan sekadar novel hiburan

Iklan
Nurul Syahidah semasa berada di segmen Pages of Karangkraf di IIUM.fm

BUKU baharu Nurul Syahida berjudul Jane & Cassandra merupakan antara fokus utama dalam 10 segmen radio IIUM.fm yang bertajuk Pages Of Karangkraf.

Penulis itu berkata, penceritaan dalam novel itu dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan yang boleh menjaga kesihatan mental pelajar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun naskhah tersebut berkaitan cinta tetapi ia bukan novel cinta yang kosong, malah melibatkan penjagaan diri dan keluarga.

"Kita (novelis) pun bukan nak menjual fantasi dan angan-angan semata-mata.

Iklan

"Dalam segmen pelajar IIUM.fm ini juga, kita mendedahkan mengenai penulisan dan cara menulis sebuah novel.

"Kita tunjuk kepada mereka penulisan fiksyen bukan sekadar novel hiburan tetapi boleh mendidik dan belajar daripadanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Segmen radio tersebut merupakan kolaborasi pertama antara Kumpulan Karangkraf dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), antara inisiatif bagi memupuk budaya membaca bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa tetapi kepada pensyarah dan kakitangan universiti.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang menulis novel tersebut, Nurul Syahida mendedahkan, dia perlu membaca beberapa artikel lain untuk memastikan penceritaan Jane & Cassandra berjaya diterima oleh khalayak umum.

Najwa

Sementara itu, menurut penyampai radio, Najwa Nordin, bahasa dan gaya penulisan sesetengah penulis yang mudah difahami juga lebih mendekatkan diri pembaca dalam pelbagai situasi di sesebuah novel.

"Bila ada penulis yang menggunakan istilah mudah, dia boleh kurangkan jurang antara pembaca dan penulis.

"Sebenarnya penulis boleh menjadi pencorak kepada pembaca dengan menggunakan bahasa yang senang dan boleh difahami,” ujarnya.

Amiratun Najah

Sementara itu, Produser IIUM.fm, Amiratun Najah Ainul Ramadzan berkata, pemilihan buku-buku daripada Grup Buku Karangkraf (GBK) adalah disebabkan genre yang lebih dekat dengan mahasiswa.

Menurutnya, perkongsian daripada penulis buku boleh dikaitkan dengan pelajar terutama berkaitan pembelajaran.

"Setiap episod, kami peruntukkan satu jam untuk kupas tip pembelajaran dan cara menulis dengan lebih baik,” kongsinya.

Ditanya mengenai pemilihan Kumpulan Karangkraf, Amiratun Najah menjawab kerana setiap buku fiksyen dan bukan fiksyen mudah dikaitkan dengan mahasiswa.