Along Cham berdepan jel seumur hidup kes miliki ganja

Iklan
Pelakon dan pelawak, Along Cham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 58.23 gram, Sabtu minggu lalu.

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan pelawak, Along Cham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat lebih 60gram, Sabtu minggu lalu.

Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hakim, Ahmad Fuad Othman dan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Iklan
Iklan

Mengikut satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Along Cham

Iklan
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.

Iklan

Sementara di Mahkamah Majistret, dia didakwa atas satu pertuduhan, ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi sama, masa dan tarikh serupa.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur 'Ain Madihah Zulkifli.

Majistret membenarkan pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 28 Februari tahun depan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan artis tersebut ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya, Sabtu minggu lalu.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut menemukan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan selebriti itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, lelaki itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut hadir di mahkamah ialah isteri selebriti itu, Afreena Suhaimi, 32, yang memberitahu akan terus berjuang demi menuntut keadilan buat suaminya.