KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM205,983 lesap selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, lelaki berusia 56 tahun itu telah menyertai pelaburan yang diiklankan di laman sosial kerana tertarik dengan pulangan pelaburan tinggi.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan pengurus ladang itu telah membuat 12 transksasi ke lapan akaun bank yang berbeza sepanjang tempoh 4 November hingga 12 Disember lepas seperti diarahkan oleh suspek.
"Mangsa telah membuat pelaburan pertama sebanyak RM5,000 pada 4 November dan memperoleh pulangan sebanyak RM4,708.50.
"Mangsa yang teruja dengan keuntungan tersebut tanpa ragu membuat 12 kali pelaburan berjumlah RM205,983 dengan harapan mendapat pulangan lebih besar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, Wan Muhamad berkata, mangsa mula rasa tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan pelaburan seperti dijanjikan dan membuat laporan polis petang semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penipuan yang pelbagai terutama di media sosial dan laman sesawang. - Bernama