MENGIKUT hukum syarak, binatang darat sama ada haiwan ternakan atau liar seperti ayam kampung, ayam hutan, rusa dan burung adalah halal dimakan sekiranya disembelih terlebih dahulu.
Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Bazli Ahmad Hilmi menjelaskan, proses sembelihan tersebut perlulah mematuhi hukum syarak berdasarkan dalil dalam ayat ke-173 surah al-Baqarah:
"Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan haiwan-haiwan yang disembelih tidak kerana ALLAH. Maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.”
Menurutnya, Islam telah menetapkan garis panduan yang jelas tentang tatacara sembelihan haiwan halal.
"Sembelihan halal ialah sembelihan terhadap haiwan halal yang dilakukan oleh orang Islam yang berakal atau Ahli Kitab dengan menggunakan peralatan yang sepatutnya, dengan berniat sembelihan kerana ALLAH SWT berdasarkan beberapa syarat ditetapkan.
Mengulas mengenai syarat sembelihan, pensyarah itu menjelaskan ia merangkumi beberapa rukun utama iaitu:
1 - Binatang yang hendak disembelih
Ia mestilah haiwan yang halal dimakan seperti lembu, unta dan rusa manakala haiwan haram dimakan seperti babi dan harimau tetap haram dimakan meskipun disembelih mengikut hukum syarak.
Haiwan tersebut juga mestilah hidup ketika disembelih selain pihak autoriti Malaysia menetapkan syarat agar haiwan mestilah sihat dan tidak berpenyakit.
2 - Penyembelih
Syarat penyembelih secara umumnya mestilah Muslim atau Ahli Kitab sama ada telah baligh atau belum, mestilah seorang yang berakal dan waras, tidak berada dalam ihram haji dan niat menyembelih kerana ALLAH.
3 - Alat sembelihan
Islam amat menekankan ihsan dalam setiap aktiviti seharian manusia termasuklah dalam penyembelihan.
Bagaimanapun, syarat tambahan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), peralatan sembelihan hanya dikhaskan untuk proses sembelihan sahaja dan perlu bersih serta bebas daripada najis dan kekotoran selain dibersihkan menggunakan air yang mengalir.
4 - Proses sembelihan
Syarat proses sembelihan adalah seperti berikut:
i - Putus urat halkum dan urat mari’ dengan sebab sembelihan (sebaiknya putus empat urat termasuk wadajain).
ii - Mati dengan sekali sembelihan sahaja.
iii - Sembelihan dilakukan kerana ALLAH SWT.
"Walaupun demikian, para ulama fiqah mempunyai pelbagai pandangan berbeza tentang urat yang harus dipotong.
"Mazhab Syafie mewajibkan memotong dua urat iaitu urat nafas dan urat makanan serta sunat memotong dua urat saraf yang lain (wadajain).
"Manakala Mazhab Hanafi menyatakan tiga daripada empat urat ini mesti dipotong,” katanya.
Menjawab persoalan sembelihan moden yang dilakukan pusat penyembelihan ketika ini, katanya, antara kaedah yang digunakan adalah water bath stunning (melalikan haiwan) dan captive bolt stunning (tembakan menyebabkan haiwan tidak sedar namun masih belum mati).
"Kaedah moden ini digunakan dalam industri sembelihan kerana bilangan haiwan yang ingin disembelih begitu banyak dan memenuhi kehendak kesihatan awam.
"Di Malaysia, rumah sembelihan perlulah memenuhi piawai yang ditetapkan oleh kerajaan dalam masa yang sama kehendak syariah mestilah dipatuhi,” katanya.
Sebagai kesimpulannya, Dr Ahmad Bazli menjelaskan, syariah telah menggariskan peraturan dan prinsip lengkap berkenaan makanan dan minuman yang halal berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah.
"Umat Islam wajib memilih makanan dan minuman yang halal dan menjauhi yang haram.
"Kaedah moden dalam penyediaan makanan halal boleh diikuti selagi tidak bercanggah dengan prinsip asal.
Perkara sunat ketika sembelihan:
1 - Membaca Basmalah.
2 - Sembelihan dilakukan menghadap kiblat.
3 - Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
4 - Memutuskan wadajain supaya cepat mati.
5 - Menggunakan pisau yang tajam.
6 - Haiwan dibaringkan di rusuk kiri.
7 - Melakukan penyembelihan dengan kadar segera.
Perkara makruh ketika penyembelihan:
1 - Melakukan sembelihan di hadapan binatang lain.
2 - Melakukan proses (melapah, memotong dan sebagainya) sebelum haiwan mati dengan sempurna.
3 - Mengasah pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih.
4 - Menyembelih hingga terputus kepala.