KUALA SELANGOR – Hadiah wang tunai lebih RM40,000 menanti pemenang pertandingan Memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour di Pantai Remis, dekat sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia dalam memartabatkan industri pelancongan domestik.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, naib juara menerima RM3,000 dan ketiga RM1,000.
Pemenang keempat dan kelima menerima RM450, keenam hingga 10 membawa pulang RM250 dan ke-11 hingga 200, masing-masing memenangi RM120.
Pengurus Wakjali Event, Md Zali Kasran berkata, pertandingan berlangsung dari jam 9 hingga 1 petang.
"Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 4 petang hingga 10 malam pada Sabtu.
"Kali terakhir Pantai Remis yang terkenal dengan spesies belukang menjadi lokasi pertandingan memancing ialah pada November 2023.
"Acara ini dijangka menarik minat pemancing seluruh negara sekali gus membantu ekonomi penduduk setempat khususnya pengusaha inap desa dan hotel,’’ katanya.
Beliau berkata, Pantai Remis kaya dengan pelbagai spesies ikan khususnya belukang dan semilang. Namun ada juga spesis pari, malung, duri, gelama dan lain-lain.
Yuran penyertaan RM90 untuk satu joran manakala bagi golongan orang kurang upaya (OKU), yuran adalah RM70.