BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak yang menghidap kanser otak memerlukan dana sebanyak RM105,000 bagi menjalani pemindahan sel stem autologus.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, S Sam Run, 12, mula dikesan mengidap penyakit tumor sel pineal germ selepas mengalami bengkak pada muka dan sakit kepala pada Februari tahun lalu.
Menurutnya, pada awalnya penyakit itu tidak dikesan sehinggalah kanak-kanak dari Klian Intan, Pengkalan Hulu, Perak itu jatuh pengsan.
"Dia menjalani pembedahan mengasingkan kulit kepala dan suntikan ubat ke dalam otaknya. Dia telah memulakan kemoterapi pusingan pertama pada Mac 2023 dan terus menerima 30 kali elektroterapi.
"Hanya 80 peratus tumor dapat dikeluarkan pada Ogos lalu melalui pembedahan kerana ia terletak terlalu dalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, ketika ujian susulan pada Januari tahun ini, doktor mendapati tumor otak telah membesar sebanyak 3 sentimeter selain sel kanser telah berulang.
"Doktor telah mengesyorkan pemindahan sel stem autologus (sel stem sendiri) selepas selesai kemoterapi. Sam Run telah dimasukkan ke hospital pada Khamis untuk menjalani kemoterapi sebelum diteruskan dengan transplan tersebut.
"Oleh itu, Sam Run memerlukan dana orang ramai sebanyak RM105,000 agar dia dapat menjalani prosedur tersebut dalam usaha mengurangkan kemungkinan kanser berulang," ujarnya.
Kata beliau lagi, One Hope Charity & Welfare akan membantu mengumpul dana berikutan keluarga Sam Run tidak berkemampuan setelah bapanya meninggal dunia pada tujuh tahun lalu.
"Dia dan tiga lagi adik-beradik dibesarkan sendirian oleh ibu mereka, T Ni Sraa, 45, yang merupakan ibu tunggal dan bekerja sebagai penoreh getah yang mana pendapatan tidak menentu dan tidak seberapa.
"Keluarganya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun belum mencukupi bagi menampung keluarga," katanya.
Menurut beliau, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu yang berusia 15 tahun telah berhenti sekolah untuk menoreh getah selain perlu menjaga dan menghantar adik-adiknya berusia 9 dan 11 tahun ke sekolah.
"Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada Sam Run, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org.
"Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline, 04-539 9212/016-4192 192/019-2322 192/018-911 4192," tambahnya.