SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula difailkan seorang lelaki untuk menggali semula kubur bapanya yang telah dikebumikan secara Islam tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas membaca dan meneliti notis permohonan MAINS, afidavit serta hujah bertulis yang difailkan di mahkamah.
"Atas pertimbangan kebarangkalian, mahkamah memutuskan membenarkan notis permohonan difailkan responden ketiga (kerajaan negeri) dan keempat (MAINS) untuk batalkan saman pemula pihak pemohon," katanya.
Pada 31 Julai 2023, Roseli Mahat, 51, memfailkan saman pemula dengan menamakan lima responden iaitu Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Kerajaan Negeri Sembilan, MAINS dan Ketua Polis Diraja Malaysia.
Dia sebelum ini mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada tahun 1941 namun telah dikebumikan secara Islam pada 9 September 2017.
Peguam mewakili kerajaan Negeri Sembilan, Roziaton Mohd Nordin yang ditemui di luar mahkamah berkata, terdapat dua isu dibangkitkan iaitu pemohon gagal menamakan pelaku kesalahan kecuaian 'tortfeasor' serta pemohon terhalang oleh had masa.
"Tuntutan pemohon jelas tidak berasas dan suatu penyalahan proses mahkamah, malah pemohon telah terhalang oleh had masa menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.
"Pemohon telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan ini dan hanya memulakan tindakan selepas enam tahun berlalu iaitu selepas melebihi 34 bulan atau hampir tiga tahun daripada berakhirnya kausa tindakan pemohon," katanya.
Jelas Roziaton, berdasarkan perenggan 19 afidavit sokongan, bapa pemohon telah meninggal dunia pada 9 September 2017, oleh yang demikian kausa tindakan pemohon terhadap responden ketiga telah berakhir pada 9 September 2020.
Selain itu, barisan peguam mewakili MAINS diketuai, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, kertas kausa yang difailkan plaintif adalah tidak teratur dan perlu dibatalkan.
"Bidang kuasa untuk menentukan sama ada si mati itu Islam atau tidak semasa kematiannya adalah Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil.
"Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam hal ini dan kalau dia tidak puas hati keputusan pengebumian dibuat secara Islam, dia mesti memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman," katanya.
Bagaimanapun katanya, permohonan semakan kehakiman itu telah melampaui masa ditetapkan.
Peguamnya, S Karthigesan pula berkata, anak guamnya akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.
"Kita faham apa masalah dialami (Roseli), kita nak perbetulkan keadaan itu supaya anak dan cucu beliau tidak akan menghadapi masalah yang sama (pada masa akan datang),” katanya.