GEORGE TOWN - Sebuah premis di kawasan Bukit Jambul di sini diarahkan tutup selama 14 hari bermula Khamis selepas pihak berkuasa mendapati ruang dapur premis berkenaan kotor.
Selain itu, ketika pemeriksaan dilakukan, pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga menemui hurungan lipas di premis tersebut.
MBPP dalam kenyataan di Facebooknya berkata, sebanyak lapan premis telah diperiksa dan hanya sebuah premis diarahkan tutup kerana tahap kebersihan tidak memuaskan.
"Kita telah menjalankan satu Operasi Kebersihan Establisymen Makanan di kawasan Bukit Jambul dan sebuah premis diarahkan tutup.
"Operasi yang dikendalikan oleh pegawai dari Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan Zon Selatan bermula pada jam 10 pagi hingga 1.30 petang semalam," katanya.
Tambah MBPP, dalam operasi yang sama, lima Notis Tawaran Kompaun (NTK) telah dikeluarkan berdasarkan pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan ialah meletakkan atau menempatkan bahan makanan kurang 20 sentimeter dari paras lantai, tidak mengambil langkah-langkah sesuai untuk elak makanan tercemar dan kondisi tandas yang tidak bersih.
"Pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke semua premis-premis makanan di bahagian pulau akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan premis sentiasa bersih dan mencapai piawaian pemarkahan yang telah ditetapkan," katanya.
MBPP menambah, selain daripada memberi khidmat nasihat kepada peniaga tentang aspek kebersihan, pegawainya juga memberi peringatan tentang larangan penggunaan penyedut minuman plastik di semua premis makanan dan minuman yang berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu.