REMBAU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas, Mohd Mahat Said, 78, yang dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 4, Kampung Air Melintang di sini pada Isnin lalu dihentikan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, operasi berkenaan dihentikan jam 1.30 tengah hari pada Khamis susulan tiada sebarang petunjuk.
Bagaimanapun katanya, siasatan masih diteruskan di bawah kes orang hilang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga emas ini diminta tampil ke balai polis berhampiran.
"Boleh juga disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999 atau Balai Polis Kota di talian 06- 4381622," katanya pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bekas tentera berkenaan dilapor keluar rumah jam 10 pagi, namun sehingga jam 5 petang kelibatnya masih tidak kelihatan.
Berikutan itu operasi SAR telah dilakukan melibatkan pelbagai agensi dan penduduk.
Dalam pada itu, keluarga warga emas berkenaan yakin lelaki itu tidak berada jauh dari kediaman mereka susulan kakinya tidak dapat bergerak kesan daripada kemalangan pada tahun 2002.