COURTS (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan pelan bayaran ansuran patuh syariah iaitu EZ Payment-i untuk membantu penjawat awam mengurus komitmen melibatkan barang kelengkapan rumah secara berhemah.
Pengarah Komersial COURTS Malaysia, Sam Chee Foo berkata, pihaknya memperkenalkan produk khas tersebut untuk menyantuni penjawat awam, seiring dengan peranan penting kumpulan itu dalam pembangunan negara.
"Program ini juga memberi kemudahan dan manfaat tambahan seperti perlindungan takaful kemalangan diri bernilai sehingga RM50,000.
"Pelancaran ini melambangkan komitmen COURTS dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan, kami berharap inisiatif tersebut dapat menjadi pemangkin untuk memperkukuhkan hubungan antara organisasi dengan komuniti penjawat awam.
"Khas untuk hari ini, diskaun sebanyak 12 peratus bagi semua barangan perabot dan diskaun tambahan sebanyak lima peratus untuk semua televisyen serta rangkaian telefon pintar Samsung turut diberikan," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Patuh Syariah pada Jumaat.
Hadir merasmikan majlis Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhamad Razak Idris dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong; artis jemputan, Asmawi Ani dan tetamu jemputan yang lain.
Sementara itu, Muhamad Razak memaklumkan, program tersebut bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap prinsip kewangan Islam tetapi membantu penjawat awam beragama Islam menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik berlandaskan prinsip murni.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan satu contoh mengenai syarikat di Malaysia mampu turut sama terlibat dalam pembangunan masyarakat selaras dengan konsep Malaysia Madani yang sedang diperkenalkan oleh kerajaan.
"Program yang kita sedia maklum Malaysia Madani adalah konsep negara bertamadun berteraskan kepada prinsip kesejahteraan dan keadilan, salah satunya adalah tentang kebahagiaan yang disebut sebagai 'the happiness and dreams'.
"Kita juga tahu bahawa Malaysia merupakan antara 10 negara yang mencapai indeks negara bahagia di seluruh dunia dan kita sedang berusaha untuk tahun depan kalau boleh naik lagi ke tahap nombor lima atau satu di dunia," ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada semua penjawat awam untuk memilih penyelesaian kewangan lebih sejahtera dan turut menerima manfaat lain dengan adanya perlindungan takaful yang diumumkan sebentar tadi.
"Pelanggan tidak hanya dapat mengurus kewangan mereka dengan lebih baik tapi dapat melakukannya (pembelian) dengan penuh ketenangan kerana ia selaras dengan tuntutan agama.
"Melalui program ini, penjawat awam terutamanya yang beragama Islam dapat menyempurnakan barangan kelengkapan atau keperluan harian di rumah dengan bayaran ansuran patuh syariah," katanya.