PDRM siasat penipuan pelaburan Nicshare, Commonapps libat rakyat Malaysia

Iklan
Razarudin Husain. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan seorang rakyat Malaysia dikaitkan sebagai ketua sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai Nicshare dan Commonapps.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan penahanan individu tersebut oleh pihak berkuasa Thailand.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 24 laporan polis telah diterima berkaitan pelaburan Nicshare membabitkan nilai kerugian berjumlah RM8.21 juta.

Manakala bagi skim pelaburan Commonapps, kata beliau, sebanyak dua laporan polis telah diterima melibatkan kerugian sebanyak RM340,079.

Iklan

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, kedua-dua skim pelaburan tersebut juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Iklan

"Beberapa orang suspek serta organisasi telah berjaya dituduh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Razarudin lagi, siasatan terhadap kedua-dua skim pelaburan tersebut serta perkaitan antara rakyat Malaysia dengan skim penipuan itu juga sedang giat dilaksanakan.

Sehubungan itu menurut beliau, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam tempoh singkat.

Selain itu tegasnya, orang ramai juga diingatkan untuk tidak terlibat dengan sebarang sindiket penipuan pelaburan.

Terdahulu media melaporkan polis Thailand yakin berjaya membanteras sindiket penipuan utama yang mendalangi kegiatan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (RM652.8 juta) melalui rangkaian transaksi palsu.

Laporan media itu bekata, ia susulan penahanan seorang rakyat Malaysia yang juga ketua sindiket terbabit.

Selain lelaki itu, turut ditahan isterinya yang juga warga Thailand, masing-masing suspek utama yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram berskala besar itu.