PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian kepada Sadio Mane dan para pemain simpanannya selepas membantu pendahulu liga berkenaan mengatasi Norwich City 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Carrow Road, awal pagi tadi.
Menurutnya, pemain Senegal itu berjaya kembali dengan sentuhan yang menakjubkan selepas pulih dari kecederaan hamstring bagi melebarkan lagi jurang mengatasi pesaing terdekat Manchester City.
"Secara jujur saya memuji keseluruhan komitmen yang diberikan para pemain The Reds terutamanya kehadiran semula Mane yang menampilkan prestasi menakjubkan pada perlawanan ini.
"Mane menampilkan aksi luar biasa dan berada pada prestasi terbaiknya dalam perlawanan ini. Ketika dia, Fabinho dan (James) Milner dimasukkan pada babak kedua kami lebih bermain kepada corak menyerang.
"Apa yang penting juga Fabinho dan Milner membuktikan bahawa setiap para pemain Liverpool mempunyai kualiti masing-masing walaupun permain di bangku simpanan," kata bekas pengendali Borussia Dortmund berusia 52 tahun itu.
Mane, Fabinho dan Milner muncul sebagai pemain gantian untuk memainkan peranan penting dalam menghidupkan jentera The Reds bagi mencatatkan kemenangan ke-25 selepas mengharungi 26 perlawanan.
Mane dimasukkan pada minit ke-60 menggantikan Alex Oxlade-Chamberlain sebelum ini terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika aksi menentang Wolverhampton Wanderers pada 23 Januari lalu.
Mengulas sama ada Mane akan diturunkan pada aksi menentang gergasi La Liga Atletico Madrid di Stadium Wanda Metropolitano pada saingan Peringkat 16 Terbaik Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini Klopp berkata, dia berkemungkinan besar akan menurunkan pemain berusia 27 tahun itu pada aksi menentang skuad Diego Simeone berkenaan.
"Bagaimanapun keputusan untuk menurunkan Mane menentang Atletico akan ditentukan pada Selasa ini.
"Pada masa ini saya tidak mahu memberikan tekanan terlalu banyak kepada pemain yang baru pulih dari kecederaan kerana ia melibatkan jarak perlawanan yang terlalu hampir.
"Apapun melihat kepada prestasi semasa Mane pada perlawanan ini, dia nyata sudah bersedia biarpun beraksi dalam beberapa minit seperti dipamerkan dalam aksi menentang Norwich," katanya.