PUTRAJAYA - Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, ia susulan kerajaan bersetuju agar kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna dikekalkan.
"Pengekalan tarif elektrik ini diharap akan menjamin pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat serta merancakkan ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar Petra, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2.388 bilion.
Menurut kementerian, kerajaan turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
"Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih
kompetitif.
"Di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga dan jadual tarif baharu ini dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion dibiayai oleh kerajaan," katanya.
Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.
"Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh Kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya.