IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Anwar berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas dan membebaskan isteri bekas perdana menteri itu adalah dibawah kuasa sepenuhnya peguam negara yang mengendalikan kes tersebut.
"Macam-macam tafsiran ada, tetapi yang saya tahu, ini keputusan mahkamah dan serah kepada peguam negara untuk ambil tindakan berikutnya.
"Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau peguam negara merasakan perlu membuat rayuan, itu juga keputusan peguam negara.
"Saya tidak fikir perkara ini harus jadi kontroversi. Keputusan DNAA (melepas tanpa membebaskan) kepada pembangkang ramai dan keputusan ini telah diambil. Kita akan baca dan teliti keputusan hakim," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi Lim Kit Siang: Malaysian First di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Anwar berkata, kerajaan Madani tidak akan sesekali mengulangi amalan pentadbiran sebelum ini yang mana seorang perdana menteri boleh memanggil dan memberi arahan kepada hakim dalam urusan melibatkan pemimpin politik.
"Adalah tidak munasabah untuk menjangkakan pentadbiran saya seperti pentadbiran dulu.
"Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan ketua hakim negara dalam soal keputusan mahkamah," katanya.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah, 73, daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy dalam keputusannya memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah adalah tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.
Susulan keputusan itu, pihak pendakwaan pada Jumaat memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilapor berkata, notis rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.