Polis tahan pemandu lelaki terlibat kemalangan, positif dadah

Iklan
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lelaki yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 141 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pagi tadi ditahan polis kerana positif dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, pemandu Proton Wira berusia 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu ketika di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

Iklan
Iklan

"Polis menerima laporan kemalangan itu pada 8.30 pagi tadi. Siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah melanggar bahagian belakang kereta jenis Proton Persona dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dari arah Chukai menghala ke Kerteh.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta wanita itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh penghadang besi lalu masuk ke kawasan semak. Mangsa yang sakit di bahagian dada dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala lelaki itu hanya mengalami luka kecil di dahi dan bibir,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Wan Muhamad berkata, kes membabitkan lelaki itu yang positif dadah jenis morfin juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini diminta menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8592222,” katanya. - Bernama

Iklan