PUTRAJAYA - Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Disember lepas bagi memohon Pendapat Nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai tanggungjawab Israel ke atas kehadiran dan kegiatan PBB, Organisasi Antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Resolusi ini yang dibentangkan oleh Negara Sepemikiran termasuk Malaysia di bawah agenda 'Memperkukuhkan Sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu', merupakan tindak balas terhadap keputusan Knesset Israel baru-baru ini untuk mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.