GEORGE TOWN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 27 tan metrik produk sosej sejuk beku bernilai RM37,617 kerana tiada sijil halal dan sijil kesihatan veterinar.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kesemua makanan itu ditemui di dalam sebuah kontena dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Jumaat.
Menurutnya, selepas pemeriksaan, pegawai Maqis mendapati dokumen import yang diisytiharkan adalah mengelirukan.
"Pihak pengimport mengisytiharkan konsainan dagangan yang dibawa masuk adalah jenis 'Frozen Cuttlefish Intestines'.
"Kemasukan sosej tanpa pengesahan sijil kesihatan veterinar dan sijil halal boleh menyebabkan risiko kemasukan makanan berasaskan haiwan yang dikhuatiri kesahihan dalam aspek keselamatan agromakanan dan halal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya lagi, hasil keputusan analisis sampel terhadap konsainan tersebut melalui kaedah analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) mendapati konsainan tersebut mempunyai DNA ayam, berbeza dengan kandungan yang diisytiharkan.
"Sehubungan itu, kesemua dagangan tersebut disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Mana-mana pihak yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya.
Beliau menambah, penguatkuasaan undang-undang dan pemeriksaan terhadap seluruh hasilan pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara akan terus diperkukuhkan bagi menjamin keselamatan makanan seluruh rakyat Malaysia.
"Maqis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang cuba melanggar mana-mana syarat dan peraturan yang termaktub di dalam akta demi masa depan industri pertanian dan keterjaminan makanan negara," katanya.