Waris mangsa tragedi MH370 harap usaha pencarian baharu berjaya

Iklan
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

KUALA LUMPUR - Ahli keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 berharap usaha pencarian baharu oleh Ocean Infinity di kawasan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi akan menemukan bangkai pesawat itu yang hilang sejak 10 tahun lepas.

Wakil waris mangsa tragedi MH370, Grace Subathirai Nathan, 37, berkata, beliau dan ahli keluarga penumpang dan kru pesawat itu yang lain berterima kasih atas keputusan Kabinet meluluskan usaha pencarian baharu syarikat berkenaan, meskipun percubaan awal pada 2018 tidak berhasil.

Iklan
Iklan

"Kami bersyukur atas peluang memulakan kembali pencarian selepas pencarian terakhir ditamatkan pada 2018, kami telah lama menunggu untuk pencarian baharu. Sebagai waris, kami sangat berharap pencarian ini akan menjadi yang terakhir, kami sangat berharap MH370 akan dijumpai kali ini,

"Terima kasih kerana mempertimbangkan cadangan (daripada Ocean Infinity) dan terima kasih kerana tidak berputus asa dengan MH370 dan meneruskan pencarian," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kabinet pada mesyuarat 13 Disember lepas, secara prinsip bersetuju menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370.

Beliau berkata, operasi pencarian dasar laut tersebut akan tertumpu di satu lokasi baharu dianggarkan berkeluasan 15,000 km persegi di selatan Lautan Hindi yang disarankan syarikat tersebut berdasarkan maklumat terkini dan analisis data oleh pakar dan penyelidik.

Iklan

Seorang lagi waris mangsa MH370, Subramaniam Gurusamy, 70, menzahirkan harapan pencarian Ocean Infinity akan menemukan bangkai pesawat berkenaan sekali gus mengakhiri penantian serta memberi ketenangan kepada beliau dan isterinya, susulan tragedi yang memberi kesan mendalam kepada keluarga mereka.

"Anak saya yang menaiki MH370 10 tahun lepas iaitu S Puspanathan ialah satu-satunya anak lelaki kami. Jika MH370 dapat ditemui, ia akan memberi jawapan kepada tragedi yang banyak mengubah keluarga kami.

"Kami sangat berharap ia ditemui dalam pencarian kali ini dan saya rasa semua waris lain akan fikir perkara yang sama,” katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Pada Januari 2018, Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat berkepakaran dalam mengumpul data dasar laut beresolusi tinggi, Ocean Infinity, untuk memulakan pencarian baharu MH370 di selatan Lautan Hindi.

Pada 29 Mei, 2018, syarikat itu mengesahkan menamatkan pencariannya selepas mengumpul data meliputi lebih 112,000 km persegi dasar laut.

Sementara itu, Voice 370, persatuan yang mewakili ahli keluarga penumpang dan kru penerbangan MH370 dalam kenyataan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas komitmen terhadap pencarian pesawat yang hilang itu, penumpang dan kru serta pencarian jawapan kepada punca kehilangan MH370.

Menurut persatuan itu, sejak pencarian awal pada 2018, Ocean Infinity secara konsisten menunjukkan keazaman yang kuat untuk menjalankan pencarian lanjut MH370 iaitu syarikat terbabit telah mengambil langkah susulan dengan usaha wajar (due diligence), menganalisis kesemua data yang ada dan senario alternatif dicadangkan oleh penyelidik bebas serta saranan mengenai kawasan pencarian berpotensi.

"Kami meraih semangat dengan kesediaan Ocean Infinity untuk menggerakkan armada termaju mereka, termasuk kapal canggih, AUV dan teknologi pengimejan termoden. Pencarian baharu ini amat penting. Bagi keluarga penumpang dan kru, komuniti sains dan keselamatan penerbangan awam global, ia memberi harapan baharu untuk jawapan yang dicari sekian lama dan suatu penamat.

"Jika usaha ini membawa kepada perjalanan udara yang lebih selamat bagi masyarakat awam global, pencarian itu dan kesimpulannya yang berjaya akan sangat berbaloi.

"Kami, waris, telah mengharungi lebih sedekad ketidakpastian dan kami harap syarat pencarian baharu itu dimuktamadkan segera dan segala isu diselesaikan bagi membolehkan pencarian dimulakan. Kami terus berharap agar penantian kami akhirnya menemukan jawapan," menurut kenyataan itu. - Bernama