SHAH ALAM - Seramai 16 usahawan Industri Asas Tani (IAT) menerima bantuan insentif pertanian dengan nilai RM278,358 sempena Konvensyen Agro Selangor 2024 berakhir pada Jumaat.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, Konvensyen Agro Selangor pada tahun ini julung kali diadakan melibatkan seramai 200 peserta.
Kenyataan itu menyebut, konvensyen itu diadakan untuk merangsang perkembangan industri asas tani bagi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri Selangor.
"Industri asas tani memainkan peranan yang amat penting dalam menjana ekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan nilai tambah hasil produk pertanian serta memperkasakan jaringan perniagaan dalam sektor agromakanan.
"Konvensyen ini menghimpunkan seramai 200 usahawan PMKS di bawah bimbingan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan khususnya di negeri Selangor," ujarnya.
Majlis Perasmian Konvensyen Agro Selangor itu disempurnakan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim di sebuah hotel di Seksyen 14, di sini.
Hadir sama, Pengarah FAMA Selangor, Abdul Rashid Bahri.
Dalam pada itu, FAMA Selangor memaklumkan, konvensyen kali ini juga dapat memberikan pendedahan kepada usahawan tentang keperluan pemasaran dalam meningkatkan daya saing.
Selain itu, katanya, ia turut mewujudkan peluang untuk usahawan berinteraksi, bertukar idea, dan membina rangkaian dengan rakan niaga serta pakar industri dan menyediakan maklumat tentang sumber pembiayaan serta bantuan kerajaan bagi meningkatkan kualiti produk agromakanan seterusnya menyediakan ruang pasaran antarabangsa bagi produk usahawan kategori tier 1 dan 2.
"Ia meliputi kategori produk antaranya seperti sos dan lepa, sejuk beku, snek serta makanan tradisional termasuk produk jus, kordial, kek serta bakeri dan juga produk herba," tambahnya.
Dalam pada itu, impak pelaksanaan Konvensyen Agro Selangor 2024 ini dapat membuka peluang besar kepada para usahawan industri asas tani di negeri Selangor.
"Dengan adanya perkongsian ilmu, inovasi, dan jaringan perniagaan, konvensyen ini juga dapat memperkukuhkan ekonomi negeri Selangor serta memperbaiki kualiti usahawan dalam sektor agromakanan.
"Melalui konvensyen ini juga usahawan industri asas tani akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.
Kenyataan itu menambah, usahawan-usahawan juga dapat mengetahui perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan negeri Selangor dan badan-badan kerajaan.