KPM, KPT digesa perkasa kurikulum, modul pendidikan lengkap

Iklan
Azli

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa memberi keutamaan dalam memperkasa kurikulum serta modul pendidikan lengkap menerusi konsep karamah insaniah.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat (BPPM) Parti Amanah Negara (Amanah), Azli Yusof berkata, cadangan itu bagi membendung gejala buli di negara ini sekali gus mengangkat kemuliaan insan, memelihara jiwa dan menghormati maruah sesama manusia.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks hari ini, kejadian buli bukan sahaja melibatkan aspek fizikal malah turut melibatkan gejala buli siber.

"Tidak mustahil budaya buli siber boleh berlarutan sehingga meleret menjadi jenayah buli fizikal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan pada Ahad berkata, sebanyak 6,208 kes buli membabitkan pelajar sekolah direkodkan oleh kementeriannya setakat Oktober 2024 menerusi sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).

Ulasnya, meskipun jumlah berkenaan menurun berbanding 6,528 kes pada tahun sebelumnya, angka itu tetap menunjukkan bilangan kes yang membimbangkan.

Iklan

Menurut Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, peranan media sosial yang semakin dominan dilihat telah mempengaruhi gaya pemikiran generasi muda.

Jelasnya, permainan secara dalam talian berbentuk aksi ganas dikhuatiri menjadi ikutan untuk anak muda melakukan perbuatan sama dalam aktiviti buli.

"Sehubungan itu, timbul persoalan adakah kaedah pendidikan hari ini khususnya di peringkat arus perdana tidak berjaya membina jati diri dan perwatakan insan generasi muda yang mampu mengekang budaya buli ini?

"Kerajaan wajar menilai isu ini secara holistik, menyemak apakah faktor utama yang mendorong pemangsa buli bertindak sedemikian, seterusnya mengambil langkah intervensi dan pencegahan secara menyeluruh agar budaya buli dapat dibendung,” ujarnya.