Komunikasi keluarga elak ibu bapa ditipu scammer

Iklan
Laporan Sinar Harian 19 Disember lalu (kiri), FAUZIAH

SHAH ALAM - Ahli keluarga yang mempunyai ibu bapa kesunyian disarankan meningkatkan komunikasi keluarga bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam taktik penipuan dalam talian atau scammer.

Pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, individu yang kehilangan pasangan cenderung mencari teman, sekali gus menjadikan mereka mudah dimanipulasi.

Iklan
Iklan

Ujarnya, ahli keluarga dinasihatkan berbual secara kerap dengan ibu bapa atau ahli keluarga lain yang kesunyian untuk mengurangkan peluang mereka mencari teman secara dalam talian.

"Selain itu, ahli keluarga perlu memberi kesedaran tentang penipuan termasuklah berkongsi maklumat bagaimana sindiket love scam beroperasi dan peringatan untuk tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenali,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, ibu bapa ini perlu dibantu untuk mengisi masa dengan melakukan aktiviti sosial yang selamat seperti menyertai kelab komuniti atau aktiviti keagamaan.

Ujarnya, anak-anak juga dicadangkan untuk memasang aplikasi keselamatan siber pada telefon atau komputer ibu bapa untuk menghalang aktiviti mencurigakan.

Iklan

"Jika ibu bapa menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau kesunyian mendalam, pertimbangkan kaunseling untuk membantu mereka pulih secara emosi,” katanya.

Jelasnya, eksploitasi emosi antara kaedah digunakan scammer untuk memanipulasi psikologi mangsa, sekali gus memerangkap mereka.

"Scammer juga menggunakan taktik segera dengan mencipta situasi yang mendesak, seperti memerlukan wang untuk kecemasan. Ini membuat mangsa tidak sempat berfikir panjang.

"Dalam beberapa kes, mereka menyamar sebagai pegawai kerajaan, bank atau organisasi terkenal untuk menimbulkan kepercayaan,” jelasnya.

Menurut Fauziah, akibatnya, mangsa yang terperangkap dengan scammer ini mengalami trauma psikologi.

Katanya, mangsa akhirnya mengalami tekanan emosi termasuk rasa malu, bersalah dan kehilangan harga diri akibat ditipu.

"Mangsa berkemungkinan turut berasa sentiasa terancam atau takut menjadi sasaran lagi,” ulas beliau.

Jelasnya, selain mangsa, penipuan dalam talian memberi kesan kepada ahli keluarga mangsa sendiri.

"Jika ahli keluarga terpaksa membantu dari segi kewangan, ini boleh menambah tekanan ekonomi mereka,” katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan mangsa jenayah sindiket penipuan berusia 50 tahun ke atas mengalami nilai kerugian tertinggi berbanding kelompok umur yang lain.