GEORGE TOWN - Medan selera dua tingkat yang terletak di Medan Bayan Lepas, Taman Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4, Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dikenali sebagai Food Bayana, merupakan satu lonjakan signifikan ke arah masa depan yang menggabungkan teknologi, inovasi dan kelestarian.
Food Bayana ialah medan selera berteknologi tinggi dan mesra alam pertama di Malaysia.
Medan selera ini menawarkan pelbagai masakan tempatan Pulau Pinang dan antarabangsa, memenuhi citarasa pelbagai pelanggan.
Ia beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 9 malam.
Food Bayana mempunyai dua tingkat dengan gerai makanan di tingkat bawah dan kawasan makan di tingkat atas.
Ia merupakan hab makanan separa automatik pertama di Malaysia berikutan menggunakan perkhidmatan robot sebagai penghantar makanan.
Makanan dihantar ke pelanggan di tingkat atas menggunakan robot automatik melalui lif, memudahkan pelanggan menjamu selera.
Ia juga mesra alam kerana menekankan kelestarian dengan menggunakan teknologi mesra alam dalam operasinya.
Projek Bayana ini terdiri daripada tiga kompleks utama iaitu Bayana Hub, Bayana Food dan Bayana Park.
Bayana Hub di Lot A dijangka dibuka menjelang Jun 2025, manakala Bayana Park di Lot C akan memulakan operasi pada 1 Januari 2025.
Bayana Hub yang mempunyai lima tingkat menampilkan pelbagai kemudahan termasuk restoran pandu lalu, kedai serbaneka, kemudahan gim dan dinding panjat tebing bagi memenuhi keperluan penduduk bandar moden.
Ruang kerja bersama (co-working spaces) di situ juga menawarkan persekitaran yang ideal untuk kreativiti dan produktiviti.
Bayana Park dengan reka bentuk yang diinspirasikan oleh alam semula jadi, menjanjikan pengalaman menjamu selera mewah yang menggabungkan ketenangan hutan dengan estetika kontemporari.
Dengan keluasan 2,000 meter persegi, medan selera Food Bayana yang berkonsep terbuka ini mempunyai 31 gerai yang mengumpulkan pengusaha-pengusaha makanan terkenal dari seluruh Pulau Pinang.
Pengunjung juga boleh menikmati makanan dari gerai-gerai yang diusahakan oleh warga tempatan yang tersenarai dalam rekomendasi oleh Michelin seperti Laksa Penang terkenal dari Penang Road.Projek Bayana menggabungkan sistem pembayaran digital dan teknologi robotik ke dalam operasinya.
Dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM30 juta, Food Bayana turut diiktiraf sebagai Green Building Index (GBI) yang diperakui emas mempamerkan reka bentuk mesra alam serta komitmennya terhadap kemampanan alam sekitar.
Food Bayana menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Malaysia ke arah mewujudkan hab gaya hidup yang inovatif dan mesra alam.
Satu lagi tarikan menarik di Food Bayana ialah perkampungan Smurfs yang menampilkan replika rumah cendawan ikonik dari dunia Smurfs.
Replika berkenaan direka dengan teliti untuk menyerupai kediaman watak-watak Smurfs, menawarkan pengalaman visual yang menarik bagi para pengunjung.
Perkampungan itu menambah keunikan kepada medan selera tersebut, menjadikannya destinasi yang sesuai untuk keluarga dan peminat Smurfs.
Selain menikmati pelbagai pilihan makanan yang lazat di Food Bayana, pengunjung juga berpeluang mengambil gambar dan merasai suasana perkampungan Smurfs yang direka khas.
Kombinasi antara pengalaman kulinari dan elemen hiburan menjadikan Food Bayana sebagai destinasi wajib singgah di Bayan Lepas.