NEW DELHI - Seorang wanita yang hilang sabar dengan perangai suamimya yang 'asyik' melebihkan kucing, bertindak mengheret suaminya ke mahkamah.
Bagaimanapun, tindakan itu dimarahi hakim di Bengaluru kerana memfailkan aduan remeh terhadap suaminya hanya kerana seekor haiwan peliharaan.
Hakim M. Nagaprasanna yang mengambil kes ini berkata, tiada dakwaan khusus mengenai kekejaman dalam rumah tangga pasangan tersebut.
"Isteri turut mengadu kucing mereka turut menyerangnya atau mencakarnya, tetapi suaminya tidak melakukan apa-apa.
"Sebenarnya aduan ini berdasarkan pertengkaran mengenai kucing peliharaan yang dipelihara suami.
"Dakwaannya ialah suami lebih menjaga kucing berbanding isteri,"katanya semasa mendengar petisyen jarang berlaku di mahkamah seluruh India.
Selepas mendengar petisyen itu, mahkamah memutuskan menghentikan siasatan lanjut terhadap suami dan memarahi wanita itu atas aduan remehnya itu.
"Ia adalah kes remeh yang telah mengganggu sistem keadilan jenayah hari ini dan jika penyiasatan dibenarkan dalam kes ini, ia akan menambah satu lagi kes kepada sistem keadilan yang sudah pun padat," kata mahkamah. - Agensi